Libas Polis Guna Parang Panjang


Libas Polis Guna Parang Panjang
MANJUNG – Tindakan dua suspek kes tetak di Taman Sejati Sitiawan, melibas parang ke arah polis membawa padah apabila ditahan pada 14 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.55 pagi mengenai kes tetak yang dipercayai berlaku kira-kira jam 1 pagi.
Menurutnya, apabila pegawainya tiba di tempat kejadian, mereka mendapati dua suspek yang menunggang motosikal tanpa nombor pendaftaran cuba melarikan diri.
“Pegawai polis cuba menahan kedua-dua lelaki itu, namun salah seorang suspek tersebut bertindak melibas parang panjang ke arah mereka sebelum melarikan diri.
“Akibat tindakan itu, pegawai berkenaan melepaskan tembakan terhadap kedua-dua suspek berumur 29 dan 27 tahun sebelum ditangkap,” katanya dalam satu sidang media, di sini, semalam.
Katanya, akibat tembakan berkenaan seorang suspek mengalami kecederaan di di pinggang manakala seorang lagi di paha.
Jelasnya, kedua-dua suspek menetak dua lelaki berusia 30 dan 54 tahun menyebabkan kecederaan di kepala, lengan, belakang serta jari.
“Kedua-dua mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan dipindahkan ke Hospital Seri Manjung selepas mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun,” katanya.
Menurutnya, hasil semakan rekod kesalahan lampau mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 380 manakala seorang lagi suspek tiada rekod lampau.
Katanya, polis turut merampas sebilah parang panjang yang dipercayai digunakan untuk menetak kedua-dua mangsa.
“Motif kedua-dua suspek masih di dalam siasatan dan kita telah mereman mangsa bermula 14 Januari sehingga 21 Januari depan,” katanya.
Jaafar berkata, dua suspek berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 326, Seksyen 307, Seksyen 427 dan Seksyen 7 Kanun Keseksaan. – Sinar Harian Online

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story