KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu akan mempertingkat rondaan dan kawalan keselamatan di beberapa lokasi tumpuan pelancong di negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.
Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata langkah itu bagi menjamin tahap keselamatan pelancong tempatan mahupun luar negara yang berkunjung ke negeri ini.
Katanya pihaknya juga akan memperluas rondaan di tempat-tempat yang menjadi tumpuan pelancong seperti pusat peranginan serta di kawasan pantai selain beberapa lagi lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai.
“Inisiatif ini diambil dalam usaha mencegah perkara yang tidak diingini serta meyakinkan para pelancong untuk bertandang ke Terengganu,” katanya ketika dihubungi.
Jamshah berkata polis juga meronda menggunakan motosikal, kereta, berjalan kaki dan berbasikal di kawasan tumpuan pelancong.
“Saya percaya kehadiran anggota polis dengan berbasikal akan memudahkan orang awam terutama pelancong yang mengalami kesulitan mendapatkan maklumat atau bantuan,” katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment