KUALA LUMPUR – Seorang penjenayah tidak sempat ‘berjoli’ dengan hasil jenayah pecah rumahnya apabila maut akibat terjatuh dari tingkat sembilan di Kondominium Pangsaria Taman Desa Petaling, di sini, Isnin.
Suspek berumur 29 tahun itu dipercayai terjatuh di balkoni sebuah unit kondominium ketika cuba ‘melarikan diri’ untuk ke unit bersebelahan dalam insiden kira-kira 4.40 petang.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata suspek yang cedera parah akibat terjatuh itu dihantar di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk dirawat bagaimanapun meninggal dunia kira-kira 11.54 malam.
“Suspek dipercayai terjatuh semasa cuba melalui balkoni rumah itu untuk ke unit bersebelahan yang tiada penghuni setelah menyedari kepulangan tuah rumah itu,” katanya kepada kepada pemberita di sini, Selasa.
Beliau berkata turut ditemui bersama suspek ialah sebuah beg mengandungi beberapa peralatan pecah rumah seperti pemutar skru, spanar dan pemotong besi serta wang tunai dan beberapa barangan kemas milik tuan rumah itu.
Dalam kes berasingan, Mohan Singh berkata polis pada Rabu lepas menahan sepasang suami isteri, seorang lelaki, dan sepasang kanak-kanak perempuan kembar berusia enam tahun yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja yang mencurigakan.
Beliau berkata pemeriksaan polis mendapati kereta itu adalah kereta yang dilaporkan hilang di Daerah Subang Jaya awal tahun ini.
“Pemeriksaan lanjut kemudian menemui beberapa barangan antaranya dua bilah pedang, peralatan menghisap dadah, satu topi hitam mempunyai lambang polis, tujuh cukai jalan kenderaan dimana dua disahkan benar, satu lagi bersangkut dengan kehilangan di daerah Petaling dan empat lagi dipercayai palsu,” katanya.
Siasatan lanjut bagaimanapun mendapati sepasang suami isteri serta sepasang kanak-kanak kembar mereka itu tidak terlibat dan dibebaskan dengan jaminan polis.
Mohan Singh berkata pemandu kereta yang berusia 40 tahun itu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian curi kenderaan, samun dan menyamar penjawat awam.
Katanya, suspek masih berada dalam tahanan dan siasatan lanjut akan diserahkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah Subang Jaya pada Rabu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958. BERNAMA
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment