TUMPAT — Pendikir Zaidi Mohamad atau lebih dikenali sebagai Zaidi Buluh Perindu yang telah kembali ke rahmatullah akibat serangan jantung semalam merupakan satu kehilangan besar buat rakyat Kelantan.
Menurut Datuk Seri Mustafa Mohamed, allahyarham, 46, dikenali kerana kemerduan suaranya, banyak terlibat dengan program perpaduan anjuran kerajaan persekutuan.
Beliau yang menyifatkan allahyarham bersama rakan-rakannya yang banyak berjasa dalam memartabatkan seni dikir barat sehingga dikenali di merata tempat berkata, jika 20 tahun dahulu dikir barat kurang dikenali tetapi sekarang, kumpulan dikir barat ditubuhkan di seluruh negara hasil perjuangan allahyarham dan rakan-rakannya.
“Kita kehilangan seorang budayawan tersohor yang banyak menyumbang kepada negeri kita,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga allahyarham di Kampung Bunut Sarang Burung di sini hari ini.
Allahyarham Zaidi jatuh pengsan pada pukul 10.35 pagi semalam ketika membuat persembahan dikir barat menyambut ketibaan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Geting, Tumpat.
Beliau kemudian dikejarkan ke Hospital Tumpat dan disahkan meninggal dunia pada pukul 11 pagi akibat serangan jantung.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Zaharina Mohamad, 47, dan tujuh orang anak berusia antara 11 dan 28 tahun.
Allahyarham pernah merakamkan lebih 100 album dikir barat sepanjang berkecimpung dalam industri dikir barat tempatan selama 20 tahun. — BERNAMA
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment