Waspada Kewujudan Tempat Pembiakan Aedes

Waspada Kewujudan Tempat Pembiakan Aedes

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai keadaan cuaca yang tidak menentu pada waktu ini termasuk kekerapan hujan dan banjir kilat boleh menyumbang kepada kewujudan tempat pembiakan aedes.
Justeru Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman meminta masyarakat negara ini supaya lebih peka dengan situasi itu dan menjaga kebersihan persekitaran rumah.
“Orang ramai perlu memastikan tiada bekas yang boleh menakung air dibiarkan di kawasan persekitaran rumah.
“Aktiviti gotong-royong dalam komuniti juga perlu digerakkan bagi memastikan kawasan tempat kediaman serta persekitaran dalam komuniti bebas dari tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Lokman Hakim berkata, aktiviti pencegahan merupakan langkah terbaik bagi menghalang jangkitan demam denggi dan tanggungjawab mencegah wabak itu perlu dipikul oleh semua pihak.
Antaranya orang ramai perlu melaporkan segera kepada pihak berkenaan jika terdapat longgokan sampah haram serta memastikan kemudahan pembuangan sampah yang disediakan digunakan dengan cara berhemah bagi membolehkan sampah diurus dengan teratur.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 447 kes demam denggi dilaporkan sejak 17 hingga 23 Februari lalu dengan sembilan  negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya.
Negeri terbabit adalah Selangor sebanyak 40 kes, Kuala Lumpur dan Putrajaya (15), Perak (9), Kedah (6), Perlis (4), Sarawak (3), Pulau Pinang (2) dan Negeri Sembilan serta Johor masing-masing satu kes.
Menurut beliau, jumlah keseluruhan kes denggi yang dilaporkan adalah 3,938 kes berbanding 4,113 kes bagi tempoh yang sama tahun 2012.
“Pada tempoh yang sama sebanyak lapan kematian telah dilaporkan berbanding 14 kematian pada tahun 2012,” katanya lagi.


Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story