MELAKA – Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bakal diteruskan bagi tempoh masa yang panjang sekiranya rakyat terus memberikan mandat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, bantuan yang dimulakan sejak tahun lalu dan akan diteruskan pada bulan depan itu memberikan impak besar dalam membantu meringankan beban lebih 4 juta isi rumah di seluruh negara.
“Saya percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melihat ini (BR1M) sebagai satu perkara yang perlu diteruskan dan saya percaya apabila rakyat melihat ini satu pendekatan yang baik, mereka harapkan ia dapat dilaksanakan untuk tempoh masa yang panjang.
“Saya tidak jangka ia hanya dibuat untuk sekali atau dua kali, saya jangka ia akan dilaksanakan selama mana BN diberikan kepercayaan untuk menjadi kerajaan selepas PRU-13,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan rakyat 1Malaysia yang dihadiri kira-kira 10,000 penduduk sekitar Melaka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Haji Abdul Malik di sini, hari ini.
Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Muhyiddin berkata, bantuan RM500 yang diberikan pada masa ini kemungkinan akan dinaikkan sekiranya pendapatan negara meningkat pada masa depan.
Katanya, selain BR1M, bantuan lain seperti bantuan awal persekolahan kemungkinan akan diteruskan kerana memberi impak yang besar dalam membantu meringankan beban rakyat.
“Apa yang kita harapkan supaya rakyat menilai sumbangan ini dan kalau dianggap ia satu cara yang baik, kita harap mereka akan terus memberikan sokongan kepada kerajaan BN,” katanya.
“Apa yang kita harapkan supaya rakyat menilai sumbangan ini dan kalau dianggap ia satu cara yang baik, kita harap mereka akan terus memberikan sokongan kepada kerajaan BN,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis itu, Muhyiddin menegaskan bahawa pakatan pembangkang tidak berupaya meneruskan usaha pembangunan negara yang dilaksanakan BN sejak 55 tahun lalu kerana tidak memiliki kesepakatan antara mereka.
“Isu demi isu, sampai ke hari ini PAS dan DAP masih bercakaran antara satu sama lain, PKR pula gagal membawa mereka semua duduk semeja berbincang masalah mereka, tiada kesepakatan ini akan sebabkan kerajaan menjadi lemah,” katanya.
Justeru Muhyiddin berkata, kejayaan BN memelihara ketenteraman dan keselamatan negara, membangunkan ekonomi dan memberi keselesaan kepada rakyat selama ini perlu dikekalkan dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
“Kerajaan yang kuat seperti kerajaan BN mampu melaksanakan janji yang kita buat, kita bertanggungjawab kepada masyarakat menjaga keselamatan di samping membangun ekonomi,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin mengumumkan peruntukan segera berjumlah RM250,000 bagi menaik taraf surau SMK Tun Haji Abdul Malik dan RM4.5 juta bagi pembinaan dewan sekolah itu yang akan dilaksanakan pada 2014. – BERNAMA
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment