KUALA LUMPUR – Pelakon wanita dan ahli perniagaan, Dynas Mokthar memberitahu dia masih lagi mahu berlakon walaupun wajahnya tidak lagi menghiasai drama-drama tempatan atau filem yang ada.
Kata Dynas, orang ramai menganggap dia sudah tidak berminat lagi untuk berlakon kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian dalam menjaga keluarga dan juga menguruskan perniagaannya.
Pengasas kepada Dynas Nursing Attire (DNA) itu berkata, minatnya untuk berlakon tidak pernah pudar.
Justeru, dia tidak akan sekali-kali melupakan bidang lakonan yang amat disukainya.
“Siapa kata saya tak berlakon? Saya masih lagi aktif berlakon, cuma saya kurang muncul di kaca televisyen kerana sibuk menguruskan hal-hal berkaitan dengan butik dan juga keluarga.
“Memang saya kurang berlakon tetapi itu bukanlah bermakna saya terus senyap dan tidak aktif dalam dunia lakonan,” kata Dynas yang dipetik dari portal Gua.com.
Setelah timbulnya cakap-cakap orang mengatakan dia tidak mahu berlakon lagi, Dynas memberitahu dia ketika ini sedang sibuk dengan pengambaran slot Samarinda yang akan datang.
Dalam Samarinda itu, Dynas akan bergandingan dengan Datuk Eizlan Yusof dan Anzalna.
“Buat pengetahuan semua, saya akan memasuki set penggambaran untuk slot Samarinda pada minggu hadapan. Drama berjudul ‘Bangkitnya Seorang Perempuan’ itu mengisahkan kehidupan seorang wanita yang berjaya dan suka menolong orang lain.
“Dalam masa yang sama, dia mempunyai suami yang liar dan konflik berlaku apabila suaminya mula tidak pulang ke rumah. Saya akan berlakon bersama-sama dengan Dato’ Eizlan Yusof, dan Anzalna,” terang Dynas.
Untuk rekod, Dynas telah pun membuka cawangan lain butik DNAnya.
Ia telah dibuka di Setia City Mall, Dataran Pahlawan Melaka dan Publika.
Oleh: NAIMAH SHAARI
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment