Sharifah Zohra Jabeen di ugut? ~PANAZZZ


Sharifah-Zohra-Jabeen1
KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin mendakwa beliau menerima sistem pesanan ringkas (SMS) berbentuk ugutan daripada banyak pihak termasuk parti politik.
Katanya, keadaan itu telah menimbulkan kerungsingan ke atas dirinya.
“Saya bimbang dengan keselamatan keluarga saya dan saya telah menerima sms ugutan daripada individu tidak bertanggungjawab, kumpulan dan juga parti politik,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui kenyataan yang dibacanya sendiri dan dimuat-naik ke laman Youtube lewat malam ini.
Walaupun tidak menyebut mana-mana  parti pembangkang secara tepat sebagai pihak yang menghantar sms ugutan berkenaan, namun kandungan klip video beliau jelas menjurus ke arah pihak terbabit.
Sharifah mendakwa klip insiden antara beliau dan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), KS Bawani telah diputar-belit dengan begitu kreatif untuk memberikan modal politik kepada pembangkang di negara ini.
Katanya, ekoran dari persepsi negatif itu, ramai tidak melihat video tersebut sepenuhnya, yang mempunyai empat bahagian, tetapi malangnya hanya bahagian terakhir yang menjadi ‘fenomena’.
“Isu ini telah diputar belit bagi mendapatkan sokongan emosi, oleh itu saya tidak mahu lagi memanjangkan isu ini demi masa depan SW1M,” katanya.
Sharifah Zohra turut mempersoalkan kenapa sumpah pelajar UUM seperti di dalam klip video itu tidak menjadi sensasi seperti ‘listen, listen, listen’.
“Sumpah itu berbunyi: Kami anak anak bangsa peneraju negara, dengan ini berikrar, menentang budaya songsang perosak bangsa, menentang demonstrasi jalanan penghancur keamanan, menentang anasir luar yang menjadi barah perosak anak-anak bangsa, kami menyokong keamanan, keharmonian dan kesejahteraan sesama rakyat Malaysia berbilang bangsa tanpa campur tangan pihak ketiga,” katanya.
Katanya lagi, pihak yang mempunyai kepentingan tertentu telah berjaya menjadikan isu ini sebagai fenomena sehingga menyebabkan pelajar dan pihak-pihak lain membencinya tanpa sebarang alasan.
“Pada masa sama, fenomena video ini yang menyebabkan saya terkenal dalam satu hari sebenarnya bertujuan mengalihkan pandangan yang lebih penting terutamanya penyalahgunaan hak pelajar, kanak-kanak dan wanita dalam demonstrasi jalanan serta jenayah lain seperti dadah, masalah sosial, pembuangan bayi, HIV, Aids dan rogol.
“Jangan lupa juga, isu-isu politik semasa seperti isu keagamaan, hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan krisis air di Selangor yang turut melibatkan kaum wanita dan kanak-kanak,” katanya.
Dalam klip selama hampir 7 minit 20 saat itu, beliau turut memaafkan apa yang dibuat dan disebut Bawani sebelum, semasa dan selepas forum “Seiringkah Mahasiswa dan Politik” di UUM baru-baru ini.
“Kemaafan ini juga saya lanjutkan kepada mereka-mereka yang berlumba-lumba melontarkan kenyataan kasar ke atas saya tanpa melakukan sebarang usul periksa,” katanya.



Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story