Tika hadir sesi memperkenalkan bakal suami Siti Nurhaliza, penulis tiba lewat di Sri Pentas, Bandar Utama. Melihat penulis terpingga-pingga mencari tempat duduk, Datuk Farid Ridzuan (Ketua Pegawai Eksekutif TV3) memberi isyarat agar duduk bersebelahannya, kira selang dua tiga baris dari Siti Nurhaliza (kini Datuk). Melihat kelibat penulis, Siti Nurhaliza membisikkan sesuatu pada bakal suaminya itu.
Mungkin dia kata, “Adam Salleh, Harian Metro.” Buat kali pertama kami berpandangan, Datuk K atau Datuk Khalid Mohd Jiwa melemparkan senyuman tanda perkenalan. Seorang demi seorang wartawan hiburan mengajukan soalan; dan soalan ‘standard’ biasalah lokasi ‘honey moon’ di mana? Apabila pengacara majlis bertanyakan apakah ada soalan lagi? tiba-tiba penulis berminat pula untuk bertanya bakal mempelai.
Masih tidak lekang diingatan, soalan penulis difahamkan Datuk K mulai rapat sekali gus menjadi mesra hingga menuai kasih bersama Siti Nuhaliza kerana mahu berkolaborasi menerbitkan filem cereka. Apakah hasrat itu akan diteruskan selepas menjadi suami isteri nanti?
Bukanlah hal Siti Nurhaliza dan Datuk K itu mahu dihurai di kolum ini. Sesudah sepuluh tahun berlalu selepas sidang akhbar itu, habuk pun nampak Siti Nurhaliza dan Datuk K mahu menerbitkan filem. Persoalan itu moleklah peminat tegar Siti Nurhaliza ajukan pada empunya diri.
Yang mahu dikupas di sini perihal jerat cinta artis, siapa mengena dan siapakah yang terkena. Jika kita menyorot persada seni tanah air dari era 80an dan 90an, agak menarik dan lucu juga apabila melihat artis era Gen Y dan Gen Z ini bermain cinta sesama sendiri.
Apa yang dinanti ‘acik-acik’ dan ‘akak-akak’ sekarang ini ? Tidak lain, bilakah Fattah Amin mahu menyunting Neelofa? Ke hulu ke hilir, ber’selfie’ sakan mereka dapat restu netizen lagi, yang pasti bakal bernikah Amyra Rosli dan Amar Baharin bukanlah Neelofa dan Fattah.
Semacam satu trend muktahir ini artis bercinta sesama mereka; Emma Maembong dulu dengan Zizan kini beralih ke Kamal Adli. Aktor Kamal Adli pula dulu dengan Intan Ladyana; Johan Ashari pernah dikait dengan Lana Nordin; Nabil pula dengan Irma Hasmie dan begitulah.
Yang dapat menyimpul kasih ke jenjang pelamin alhamdulillah, (sudah jodoh mereka) seperti Norman Hakim dan Memey, Awal Ashari dan Scha Al Yahya, Yusri Kru dan Lisa Surihani, namun tidak keterlaluan paling berlambak, yang wartawan tidak nampak artis skandal sesama artis.
Artis bercinta sesama artis atau skandal sesama sendiri sebenarnya payah terjadi pada era 80-an. Kalau ada pun bak kata Ahli Nujum Beringin Rendang, “kadang-kadang”. Cuba kita kenang kembali aktor hebat dan kacak seperti Latiff Ibrahim (Allahyarham), Dharma Harun Al-Rashid, Azmil Mustapa, Aman Shah bahkan AR Badul termasuklah Rosyam Nor tiba bertemu jodoh mereka memilih pasangan luar bidang mereka.
Kondisi Fauziah (Ogy) Datuk Ahmad Daud dengan seniman Eman Manan berbeza kerana hubungan mereka terjalin selepas Ogy bercerai kasih dengan seorang ‘putera istana’. Era 80-an, yang ketika itu penulis begitu rancak menjadi wartawan hiburan di akhbar dan majalah, apa yang terjadi lazimnya selebriti wanita lebih ghairah atau cenderung menjalin perhubungan dengan ‘putera istana’ dan VIP berstatus menteri.
Contoh termudah apabila Mazuin Hamzah dan Pengiran Sufri Bolkiah sementara Habibah Yusof dengan ‘putera istana Pahang’. Pengacara Wan Zaleha Radzi tidak terkecuali terkena dambaan kasih istana, namun tiada jodoh mereka, manakala Ziela Jalil (Datuk) menjadi isteri kepada Tan Sri Megat Junid Megat Ayub (Allahyarham), begitu juga dramatis manis Rohani Chik bersama dengan Timbalan Menteri.
Di sisi lain aura dan pesona dimiliki artis era 80-an itu hinggakan mereka bukan saja digilai ‘putera istana’ tetapi menteri dan korporat. Berkalih ke situasi semasa, bukan nak kata ada artis tidak layak pun menjadi heroin, ketinggian tak cukup, wajah pun ala-ala saja.
Kehadiran korporat muda adalah selang lima atau sepuluh tahun selepas projek pengswastaan dilakukan kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri ketika itu (kini Tun Dr Mahathir Mohamad). Penulis sendiri tidak terkecuali dihubungi seorang setiausaha wanita juga kenalan lama kerana ‘boss’ dia (seorang CEO muda) berminat mengajak Jeslina Hashim makan tengah hari lalu dapatlah berkenalan.
Rasanya wartawan lain menghadapi situasi sama, kerana bagi korporat mereka ada wang hasil dari laba pengswastaan diperoleh tetapi untuk mendampingi seseorang artis atau selebriti yang digilai mestilah ada perantaraannya menjadi orang tengah, siapa lagi wartawanlah.
Justeru bukanlah asing mendengar, adanya korporat sanggup bertaruh sesama sendiri untuk mendampingi seseorang artis wanita. Bagi artis wanita yang meraba-raba mencari dahan berpaut dapat hadiah Rolex sudah kelabu mata walhal Rolex itu cuma ‘made in Petaling Street’.
Namun ada juga artis licik mengena terutama yang berstatus janda, hingga pernah terjadi seorang korporat lebur RM30,000 menaja majlis ulang tahun tetapi tiba bertemu jodoh, dipilihnya jejaka lain. Dalam dunia hiburan, siapa menjerat dan siapa terkena jerat itu lumrah kerana apabila masing-masing ‘hanyut’ dek ayat-ayat cinta maka benarlah apa dialunkan Siti Nurhaliza, “Dalam pertemuan ini, kita terperangkap sudah, dalam jerat percintaan yang tidak disangkakan, aku telah jadi lupa, siapa diriku ini, engkau juga dihanyutkan oleh arus percintaan.”
Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment