Afifah Tidak Tersinggung Dibandingkan Dengan Anzalna

Afifah Tidak Tersinggung Dibandingkan Dengan Anzalna

KUALA LUMPUR – Pelakon baharu, Afifah Nasir tidak berasa tersinggung sekiranya ada pihak yang membuat perbandingan mengenai bakat lakonan dia dengan kakaknya, Anzalna Nasir.

Afifah atau Nur Afifah Md Nasir, 23, berkata, sekiranya perkara itu berlaku dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana hakikatnya Azalna ialah darah dagingnya.
“Setakat ini tiada lagi yang membanding-bandingkan kami tetapi saya ada menjangkakan perkara itu akan berlaku.
“Saya tidak kisah pun sebenarnya kerana hakikatnya dia ialah kakak saya,” katanya kepada mStar Online.
Afifah ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Pengantinku Jatuh Dari Langit yang diadakan di sini, Khamis.
Selain Afifah yang memegang watak utama, drama 30 episod arahan Idora Abdul Rahman itu turut menampilkan Hafreez Adam, Faye Kusairi, Azhar Sulaiman, Fahad Iman, Kismah Johar dan Azam Pitt.
Ia bakal bersiaran bermula 30 November ini pada setiap hari Rabu dan Khamis, pukul 9 malam menerusi saluran HyppSensasi (HyppTV 116) dan HyppTV Everywhere (aplikasi mobil HyppTV).
Dalam pada itu, Afifah berkata, walaupun begitu dia masih berharap dapat membina nama dalam bidang seni atas kredibilitinya sendiri dan bukan sekadar menumpang populariti Anzalna.
Jelasnya, sebagai pendatang baharu dia mempunyai strategi dalam memastikan namanya diingati kerana bakat lakonan.
“Hakikat Anzalna kakak saya itu tidak boleh diubah namun saya akan berikan yang terbaik dalam memastikan penonton dan peminat mengenali saya kerana bakat lakonan.
“Sebagai pendatang baharu saya ingin mencuba banyak benda baharu dan pada tahap ini saya tidak memilih watak diberikan,” katanya.
Berkongsi penglibatannya sebagai pelakon, Afifah berkata, ia berlaku secara tidak sengaja apabila pihak Global Station menelefonnya menyatakan minat untuk mengambil berlakon selepas menonton videonya di Instagram.
Lebih berminat dengan dunia nyanyian, Afifah bagaimanapun mengambil keputusan untuk mencuba dan diterima berlakon dalam drama berjudul Aku Bukan Bimbo selepas menjalani uji bakat.
“Saya mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan pada awal tahun ini itu pun selepas mendapat panggilan daripada pihak Global Station.
“Awal dahulu memang takut kerana saya tidak rasa ada bakat dalam lakonan namun Alhamdulillah diterima dan saya pun fikir tidak salah mencuba,” jelasnya yang turut mendapat sokongan Anzalna.
Afifah merupakan pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang psikologi dan komunikasi dari sebuah universiti di Australia. – mStar Online




Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story