Kia Sportage tampil berbeza


Kehadiran pelbagai model kenderaan utiliti sukan (SUV) di pasaran tempatan oleh syarikat pengeluar automotif memperlihatkan betapa pentingnya segmen pasaran SUV tidak kira bersaiz besar atau kompak. Minat pengguna kepada segmen SUV me­nyebabkan banyak syarikat automotif mula menunjukkan taring masing-masing dengan mempertaruhkan model terbaharu.
Tidak ketinggalan gergasi automotif dari Korea Selatan yang menampilkan model SUV kompak terbarunya, Kia Sportage 2016 generasi ke­empat yang tampil dengan reka bentuk luaran dan dalaman serba baharu cukup berbeza berbanding model terdahulunya.
Naza Kia Malaysia Sdn Bhd, selaku pengedar kenderaan Kia di negara ini memperkenalkan model SUV lima tempat duduk ini yang didatangkan dengan varian spesifikasi tertinggi iaitu GT Line dan varian asas KX Line.
Dari segi penampilan dan reka bentuk luarannya, sekali imbas seakan model popular SUV mewah dari Jerman khususnya bahagian lampu hadapan, cuma pada model kali ini tidak ada lagi bumbung suria dipadankan sekali gus mengetepikan persepsi umum mengenai reka bentuk kenderaan buatan Korea yang dianggap ‘biasa’.
Mungkin ini disebabkan oleh sentuhan Ketua Reka Bentuk Kia Motors, Peter Schreyer dari Jerman yang berjaya mengubah dimensi dan arah tuju rekaan masa depan kenderaan Kia dan Hyundai yang lebih moden serta kelihatan premium.
Mari kita tinjau apa yang menarik untuk model Kia Sportage edisi GT Line berwarna Fiery Red pacuan roda hadapan (2WD) dalam sesi pandu uji Vroom kali ini yang mungkin boleh dijadikan pilihan rakyat Malaysia.
Reka bentuk luaran
Penampilan bahagian hadapannya tampak premium apabila dipasangkan dengan jeriji radiator ‘tiger nose’ bersama kekemasan hitam dan krom di bahagian bampar bawah serta bahagian sisi pintu, panel pintu dan bampar belakang. Hasilnya, model ini kelihatan elegan dan bergaya.
Bahagian hadapannya kelihatan sarat dengan lampu utama projektor dan lebih sporty apabila dipadankan dengan lampu kabus LED ‘kiub ais’ manakala rim aloi 19 inci de­ngan tayar 245/45 nampak garang. Varian GT juga menampilkan lampu utama projektor HID bersama pelarasan automatik, lampu nyalaan siang LED dan lampu belakang kombinasi LED.
Bagi dimensinya, Sportage baru ini 4,480mm panjang, 1,855mm lebar dan setinggi 1,635mm manakala ruang butnya pula berkapasiti 466 liter, dan mampu mencapai sehingga 1,455 liter sekiranya tempat duduk barisan kedua 60:40 dibaringkan.
Ruang dalaman
Kabin Sportage ini tidak terlalu padat dan menawarkan ruangan kaki selesa untuk pemandu serta penumpang, malah ruangan tengah lantai bahagian belakang yang rata juga memberikan keselesaan untuk kehadiran tiga penumpang dewasa.
Apa yang menarik ialah kerusi saduran kulit pemandu dan penumpang hadapan boleh dilaras secara elektronik mengikut keselesaan manakala penumpang belakang disajikan dengan corong pendingin hawa.
Stereng tiga jejarinya pula dipadankan suis kawalan audio dan paparan panel meter bagi memberikan pelbagai informasi mengenai kenderaan seperti purata penggunaan minyak, jarak perbatuan sebelum tangki kosong dan trip meter memudahkan pemandu memberikan tumpuan sepenuhnya di jalan raya.
Selain itu, tidak lengkap jika model ini tidak dipadankan dengan butang penghidup enjin dan kamera pandang belakang malah suis kawalan pendingin hawa dua zon dan paparan logo GT Line menyerlahkan lagi ciri moden serta gaya sporty dapat dilihat menerusi pedal aluminium sport dan paparan LCD ber­saiz 4.2 inci.
Sistem hiburannya pula berjenama JBL yang memiliki lapan pembesar suara bersama sambungan USB/AUX menyajikan bunyi yang menyeronokkan.
Bagi mereka yang mahu kelainan dalam pemanduan, boleh memilih tiga mod automatik berbeza iaitu Eco, Normal dan Sport tetapi jika mahu lebih ‘pikap’ gaya kereta Formula Satu (F1) terus bertukar kepada pedal penukar gear enam kelajuan di belakang stereng atau pada tombol gear.
Enjin berkuasa
Sesuai dengan gaya urban, Sportage ini dipadankan enjin 2.0 liter yang cukup untuk memacu kenderaan dalam pelbagai keadaan, malah transmisi automatik enam kelajuan konvensional yang digunakan juga bertindak baik dalam penukaran gear.
Enjin 2.0 NU MPI DOHC Dual CVVT ini, berupaya menjana kuasa maksimum pada 155PS pada 6,200rpm dan tork maksimum 192Nm pada 4,000rpm.
Bagaimanapun, reka bentuk aerodinamiknya mampu memberikan penjimatan penggunaan bahan api yang lebih baik berbanding model terdahulu dengan kapasiti penuh tangki minyak ialah 62 liter.
Untuk menikmati penjimatan minyak dalam semua pemanduan, anda boleh menekan mod pemanduan ECO cuma terasa pikapnya kurang tetapi apabila butang mod Sport ditekan, corak pemanduan lebih agresif tetapi takuk minyak berubah lebih pantas.
Sistem keselamatan
SUV ini dilengkapi ciri keselamatan termasuk enam beg udara (berkembar hadapan, bidai dan sisi), Sistem Brek Antikekunci (ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM) dan Sistem Bantuan Kawalan Awal Pendakian (HAC).
Selain itu, model ini turut dipadankan dengan kerusi Isofix dan sistem pemantauan tekanan tayar serta sensor pengesan jarak hadapan dan belakang.
Sportage baru ini didatangkan dengan pilihan warna Mercury Blue, Fiery Red, Snow White Pearl dan Mineral Silver. Ia ditawarkan pada harga atas jalan termasuk insurans RM121,888 untuk 2.0 KX Line dan RM141,888 untuk 2.0 GT Line. Ia turut didatangkan dengan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story