Malaysia Saran Britain Lantik Mufti Rasmi Negara

Malaysia Saran Britain Lantik Mufti Rasmi Negara

LONDON – Malaysia mencadangkan seorang mufti di peringkat nasional dilantik di United Kingdom bagi membolehkan interaksi dalam kalangan pengikut pelbagai mazhab dilakukan di negara itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara tersebut adalah antara isu yang dibincangkan bersama-sama dengan Setiausaha Hal-Ehwal Dalam Negara Britain, Amber Rudd di sini.
“Saya mencadangkan agar perbezaan mazhab antara umat Islam di Britain dapat diperhalusi dan dicari persamaan demi manfaat bersama.
“Keadaan akan menjadi lebih mudah jika kita mampu mencari persamaan dan bukannya hanya memberi tumpuan terhadap isu perbezaan.
“Dalam konteks ini, mungkin pelantikan mufti di peringkat nasional boleh dilakukan supaya program kesederhanaan dapat dijalankan, selain menjadi platform pengikut mazhab berbeza mencari persamaan,” katanya.
Dianggarkan terdapat lebih tiga juta umat Islam di seluruh Britain dengan kira-kira 100,000 orang memeluk agama itu setiap tahun sekali gus menjadi agama paling pantas berkembang di negara Eropah itu.
Menurut Ahmad Zahid dalam pertemuan lewat petang semalam, Kerajaan Britain turut berminat mendalami konsep wasatiyyah atau kesederhanaan yang menjadi amalan umat Islam Malaysia.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian pada sidang media selepas majlis makan malam bersama kira-kira 400 orang Diaspora Malaysia di Park City Grand Plaza malam Selasa.
Hadir sama ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Ahmad Rasidi Hazizi. Ahmad Zahid berada di Britain sempena lawatan rasmi lima hari bermula kelmarin.
Pada Rabu pula, beliau dijadual menyampaikan syarahan bertajuk `Pengislahan Radikalisme dan Ekstremisme’ di Auditorium Malaysia Pusat Pengajian Islam Oxford di universiti terkemuka itu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA




Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story