Wartawan Akhbar Diragut, Rugi RM8 Ribu

Diragut

KUALA LUMPUR – Seorang wartawan akhbar tempatan kerugian kira-kira RM8,000 selepas rantai emas miliknya diragut seorang pengunggang motosikal di sebuah lorong berhampiran Jalan Doraisamy, di sini, semalam.
Azida Shaharuddin, 32, yang berkhidmat di meja berita Berita Harian (BH), berkata ketika kejadian jam 3.10 petang itu dia sedang dalam perjalanan membuat liputan berita di restoran berhampiran.
Katanya, ketika berjalan seorang diri melintasi sebuah lorong kecil bersebelahan restoran berkenaan, dia tiba-tiba dihampiri seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125ZR, sebelum lelaki terbabit merentap rantai emas di lehernya.
“Sebelum itu, saya menyangka saya melintas tanpa menyedari kehadirannya lalu berundur sedikit bagi memberi laluan, namun lelaki itu dengan perlahan menghampiri dan merentap rantai emas di leher sebelum memecut.
“Terkejut dengan kejadian, saya menjerit meminta tolong dan beberapa pelanggan di sebuah restoran berdekatan bergegas datang memberi bantuan,” katanya yang dipetik dari Berita Harian, di sini, hari ini.
Tambahnya, difahamkan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu selepas polis membuat pemeriksaan ke atas motosikal terbabit.
Azida berkata, seorang pelanggan di restoran itu memberitahunya dia beberapa kali ternampak kelibat suspek berlegar-legar di kawasan itu dan membantunya mengecam jenis dan nombor pendaftaran motosikal suspek.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad, mengesahkan kejadian dan berkata pihaknya kini sedang menjejaki suspek.
Oleh: NURUL NAFISAH MAZLAN
Sumber: BH

0 comments:

Post a Comment

Loading...

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story