SUBANG JAYA – Penyampai radio Suria FM, Deejay Lin menegaskan dia tidak pernah mengambil sebarang suntikan wajah untuk kelihatan cantik seperti yang didakwa segelintir pihak.
Deejay Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abd Majid berkata, dia sebenarnya tidak berani mencuba sesuatu yang ekstrem semata-mata untuk kepuasan diri selain alah kepada ubat-ubatan berbentuk steroid serta beberapa jenis ubat kecantikan.
“Mana ada saya suntik wajah, tak mungkinlah. Lagipun saya alah kepada beberapa jenis ubatan.
“Saya tidak mungkin menyuntik wajah semata-mata mahu cantik. Banyak lagi cara lain yang boleh menampakkan kita tampil menarik,” katanya kepada mStar Online.
Bagaimanapun tambah ibu kepada seorang anak itu, dia mengakui kini lebih berjaga-jaga dalam soal penampilan agar peminat-peminatnya lebih senang dengan perubahan yang dilakukan.
“Hidup ini kena ada perubahan. Begitu juga dengan saya yang ingin berubah dalam hal penjagaan imej demi peminat-peminat,” ujarnya.
Sementara itu, pada pengumuman finalis ABPBH2012 pada Rabu, Deejay Lin dicalonkan bagi kategori Penyampai Radio Wanita Popular di mana pencalonan itu merupakan yang pertama sepanjang dia melibatkan diri di bidang radio kira-kira 12 tahun.
“Saya percaya, jika kita jujur dalam kerja dan berusaha, Insya-Allah satu hari nanti kita akan dihargai dalam pelbagai bentuk.
“Selama ini saya sering diiktiraf menerusi anugerah-anugerah yang melibatkan kualiti kerja seseorang selebriti itu.
“Kali ini saya dicalonkan kerana populariti. Dan ini terbukti para peminat menerima kehadiran saya dalam industri seni kita,” tuturnya.
Baru-baru ini, Deejay Lin telah diiktiraf sebagai Ikon Wanita Muda 2012 (Kesateria Puteri Penyiaran Radio) yang diterima bersempena Himpunan Wanita Muda Negara 2012 pada November lalu. – MStar
0 comments:
Post a Comment