Dua Kereta Mewah Hilang Di Cheras Ditemui Di JB

Dua Kereta Mewah Hilang Di Cheras Ditemui Di JB

KUALA LUMPUR – Dua kereta mewah jenis Audi TT dan Volkswagen Golf GTI yang dilarikan dari dua pusat pameran kereta di Jalan Chan Sow Lin, Cheras Sabtu lepas, ditemui semula di Johor Baharu semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata kereta Volkswagen Golf GTI itu ditemui di hadapan Tesco, Skudai manakala kereta Audi TT ditemui di Taman Seri Austin, kira-kira 40km dari Tesco berkenaan.
“Kereta Volkswagen Golf GTI ditemui dalam keadaan tidak berkunci manakala kereta Audi TT ditemui dengan nombor pendaftaran Singapura dan berkunci,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Beliau berkata polis percaya kedua-dua kes itu didalangi suspek utama kes kehilangan kereta mewah jenis Porche Panamera di Bukit Bintang Oktober lepas.
“Meskipun suspek dibebas dengan ikat jamin polis berhubung kes lepas, dia dikenal pasti masih giat menjalankan kegiatannya itu,” katanya.
Sehubungan itu, polis kini memburu suspek utama Mohd Azri Mohd Kassim, 32, dan dua rakannya Abdul Raof Abdul Aziz, 44, dan Damanhuri Mohamad, 36.
Abdul Raof dan Damanhuri mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes curi kereta dan samun, katanya.
Ku meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga lelaki itu supaya menghubungi bilik gerakan Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur di talian 03-21460685 atau hotline polis Kuala Lumpur (Rakancop) di 03-21159999 atau SMS ke 32728 atau balai polis berhampiran. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story