Berjalan mampu panjangkan hayat


Dengan berjalan selama dua jam 30 minit sekali dalam seminggu, anda berupaya memanjangkan tempoh hayat selama tujuh tahun, menurut satu kajian terkini.

Kajian yang dilakukan sekumpulan pakar dari agensi penyelidikan perubatan kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan Universiti Harvard itu mendapati, dengan berjalan pantas hanya selama 75 minit sekali dalam seminggu, sudah cukup untuk memanjang tempoh hayat selama dua tahun.

Malah, analisis ke atas lebih 600,000 responden lelaki dan wanita berusia 40 tahun ke atas itu turut menyatakan, anda tidak mempunyai masalah sekiranya memiliki berat badan berlebihan asalkan masih cergas dan mengamalkan gaya hidup yang aktif.

Menurut keputusan ujian, individu yang memiliki berat badan sihat namun tidak bersenam dijangka meninggal dunia 3.1 tahun lebih awal daripada individu obes yang kekal aktif.

"Individu dengan berat badan ideal dan melakukan senaman sederhana selama dua jam 30 minit, seperti yang disarankan kerajaan, berupaya memanjangkan jangka hayat lebih dari tujuh tahun," menurut keputusan analisis tersebut.

Kajian itu juga mendedahkan kaitan antara aktiviti fizikal dan jangkaan hayat antara lelaki dan wanita adalah sama serta individu berkulit hitam memiliki lebih jangka hayat berbanding kulit putih.

Hubungan antara jangka hayat dan senaman juga lebih kuat di kalangan mereka yang mempunyai sejarah kanser atau penyakit jantung, berbanding individu yang tidak memiliki sejarah apa-apa penyakit.

Penyelidik kanan kajian itu, Dr I-Min Lee berkata, setiap individu sepatutnya tidak memandang rendah kepentingan aktiviti fizikal terhadap kesihatan mereka, termasuk senaman asas yang berupaya memanjangkan tempoh hayat mereka.[utusan]

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story