Faizal Tahir Abaikan Anas Ridzuan Mentor?

Faizal Tahir Abaikan Anas Ridzuan Mentor?

KUALA LUMPUR – Apabila dirinya kerap dilihat bergerak mengatur kerjaya nyanyiannya sendiri, ramai yang menganggap penyanyi lelaki, Anas Ridzuan diabaikan oleh bekas mentornya, Faizal Tahir.
Cerita itu timbul selepas Anas dikhabarkan mengedarkan sendiri lagu pertamanya, Hanya Padamu ke semua stesen radio tempatan.
Tindakan Anas itu telah menguatkan lagi dakwaan Faizal Tahir sedikit pun tidak mengambil tahu perjalanan seni Anas selepas rancangan pertandingan nyanyian itu berakhir.
Namun, Anas yang merupakan pemenang tempat ketiga dalam rancangan Mentor 6 menafikan dakwaan tersebut.
Anas memberitahu, dirinya tidak langsung merasai diabai oleh mana-mana pihak lebih-lebih lagi syarikat pengurusannya.
“Saya tidak terkilan atau salahkan mana-mana pihak. Mungkin mereka (pengurusan) terlepas pandang atau sibuk dengan komitmen lain.
“Selepas berbincang dengan beberapa rakan industri, saya bersedia untuk edarkan sendiri lagu pertama itu ke stesen radio kerana sudah agak lama juga sejak Mentor 6 berakhir,” beritahu Anas yang dipetik dari laporan mStar Online.
Selain itu, Anas menjelaskan Faizal Tahir ketika ini sedang sibuk menyusun atur jadual rakaman album terbarunya.
Justeru, kata Anas, Faizal Tahir sendiri tidak mempunyai masa untuk menguruskan hal atau jadual nyanyian Anas dan dia menghormati kehidupan mentornya itu.
“Saya bukan diabaikan atau Faizal lepas tangan terhadap perkembangan kerjaya saya. Saya perlu hormati dia yang sedang sibuk dengan rakaman albumnya,” katanya.
Dalam kerancakan orang ramai menyebarkan dakwaan tersebut, Anas tidak mahu tanggapan itu memberikan pandangan negatif buat dirinya dan juga Faizal Tahir.
Anas sekali lagi menegaskan dirinya tidak langsung diabaikan oleh mana-mana pihak.
“Terus-terang saya katakan, buat masa ini saya tidak rasa diabaikan mana-mana pihak. Saya masih cukup makan dan boleh mencari peluang menyanyi dan berlakon serba sedikit,” kata Anas.
Oleh: NAIMAH SHAARI

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story