4 Penjenayah Tak Sempat Jual Traktor Curi

Kubota

KUALA LUMPUR — Empat penjenayah berputih mata selepas polis menggagalkan cubaan mereka untuk menjual tiga traktor pembajak (Kubota) bernilai RM210,000 yang dilarikan mereka, di Taiping, Perak, lima hari lepas.
Traktor pembajak yang sepatutnya sampai kepada pembeli di Ipoh, Perak dari pembekal di Puchong, Selangor pada 29 Disember lepas dilarikan dua pekerja syarikat penghantaran sebelum disembunyikan di sebuah stor di Taman Simpang Bersatu, Taiping.
Ketua Polis Serdang, ACP Abd Razak Elias berkata, pihak pengurusan pembekal menyedari kehilangan traktor itu namun hanya membuat laporan polis lima hari selepas mendapat aduan daripada pembeli dan setelah gagal menghubungi suspek yang menghantar traktor tersebut.
“Selepas menerima laporan, pihak polis menubuhkan Team Lejang untuk menyiasat kes tersebut sebelum mendapat maklumat traktor itu disembunyikan di sebuah stor di Taiping,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, polis turut menahan dua penjaga stor serta dua pekerja syarikat penghantaran masing-masing di stor itu dan di Tanjung Malim pada hari yang sama traktor ditemui pada kira-kira 3 pagi.— BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story