Pejabat Den Wahab Dipecah Masuk Pencuri

Den Wahab

KUALA LUMPUR – Pelakon lelaki dan ahli perniagaan, Den Wahab mengalami kerugiaan sebanyak RM10,000 apabila pejabatnya yang terletak di Cheras dipecah masuk pencuri.
Pejabatnya, Global Network Entertainment (GNE) telah dipecah masuk pencuri pada hari Isnin lalu, 7 Januari.
Beberapa barangan eletronik seperti komputer peribadi miliknya yang mempunyai dokumen-dokumen penting pejabat dilaporkan hilang.
Antaranya seperti televisyen 46 inci, dua set komputer, lapan set walkie-talkie dan beberapa barang elektrik lain.
“Sebaik tiba di pejabat, saya dapat rasakan sesuatu yang buruk berlaku apabila mendapati kunci mangga pagar sudah terkopak. Keadaannya lebih buruk di dalam dengan semuanya bersepah seperti diselongkar.
“Lebih menyedihkan apabila saya dapati semua komputer sudah hilang. Segala dokumen penting berkaitan produksi drama pula berada dalam komputer berkenaan,” kata Den Wahab yang dipetik dari laporan Berita Harian.
Berikutan dari kejadian hitam yang menimpa dirinya, Den Wahab akan memastikan keselamatan diri dan pejabatnya akan diperketatkan selepas ini.
Dia memberitahu akan memasang alat penggera dan kamera litar tertutup sebagai langkah berjaga-jaga.
“Walaupun ramai yang menyatakan kawasan pejabat saya di Cheras ialah kawasan panas yang sering berlaku kecurian, namun saya tidak pernah hirau mengenai langkah keselamatan.
“Selepas ini saya lebih berhati-hati, dengan memasang alat penggera dan kamera litar tertutup agar kejadian sama tidak berulang,” beritahu Den Wahab.

Oleh: NAIMAH SHAARI

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story