Edar Dadah Di Kawasan Menternak Ayam

Edar Dadah

JOHOR BAHRU — Kegiatan dua lelaki yang menjalankan aktiviti pengedaran dadah di kawasan ternakan ayam di Lima Kedai dekat Gelang Patah dengan turut menyamar sebagai anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) terbongkar apabila mereka ditahan polis dua hari lepas.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kedua-dua mereka yang ketika itu menaiki sebuah kenderaan Pajero ditahan di kawasan Bandar Baru Uda selepas anggota polis mengejar mereka dari kawasan menternak ayam tersebut.
“Terdahulu anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya terserempak dengan mereka yang berumur 34 dan 36 tahun itu di kawasan penternakan ayam berkenaan sebelum kedua-duanya memecut kenderaan mereka bagi melarikan diri,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.
Beliau berkata, polis yang memeriksa Pajero itu menemui sepasang gari, sehelai vest Rela, alat walkie-talkie, dua telefon bimbit serta serangkai anak kunci.
Mohd. Mokhtar berkata, berdasarkan soal siasat terhadap mereka, polis kemudiannya kembali semula ke kawasan penternakan ayam itu di mana pemeriksaan lanjut menemui dua pucuk pistol tiruan dan dua gram dadah disyaki syabu.— BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story