Kerajaan Sasar Penjimatan Tenaga 10 Peratus

Datuk Seri Peter Chin Fah Kui

KUALA LUMPUR – Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air (KeTTHA) menyasarkan penjimatan penggunaan tenaga sebanyak 10 peratus pada tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, sasaran itu boleh dicapai melalui penggunaan lampu jimat tenaga seperti diod pemancar cahaya (LED) atau lampu kompak fluorescent (CFL).
“Penjimatan ini saya fikir boleh dicapai sekiranya semua bangunan kerajaan di seluruh negara menukar kepada lampu LED dan CFL mulai tahun ini.
“Penukaran lampu konvensional kepada jimat tenaga dalam sektor kerajaan sahaja boleh menjimatkan tenaga elektrik sebanyak RM800 juta,” katanya pada majlis perjumpaan dengan warga KeTTHA seperti disiarkan melalui satu kenyataan media di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fah Kui berkata, pada tahun lalu sebanyak 12 buah bangunan kerajaan di Putrajaya berjaya melaksanakan penjimatan tenaga berjumlah RM3.6 juta, manakala separuh daripada 93 buah bangunan kerajaan di Semenanjung Malaysia mencapai penjimatan tenaga dengan nilai RM41.85 juta.
Dalam pada itu, katanya, masalah gangguan bekalan elektrik di Sabah masih berlanjutan walaupun pelbagai usaha dijalankan untuk meningkatkan kapasiti bekalan elektrik di negeri itu.
Menurut beliau, meskipun indeks purata tempoh gangguan (SAIDI) di Sabah berjaya dikurangkan kepada 556.86 minit/pelanggan/tahun berbanding sasaran SAIDI 650 minit/pelanggan/tahun tetapi pengurangan itu tidak memberi makna kepada rakyat Sabah kerana masalah gangguan bekalan elektrik merumitkan mereka.
Justeru, katanya. kerajaan komited untuk mencari pendekatan yang lebih inovatif tahun ini bagi memastikan isu gangguan bekalan elektrik di negeri itu dapat dikurangkan pada tahap yang lebih baik. – mynewshub.my
“Begitu juga dengan isu bagi meningkatkan kapasiti bekalan air terawat di Selangor masih menghadapi masalah apabila Projek Pembinaan Loji Air Langat 2 masih menemui jalan buntu,” katanya.
Kata beliau, pihaknya masih gagal meyakinkan beberapa negeri dalam melaksanakan penstrukturan semula industri air negara menyebabkan program penambahbaikan ke atas pengurusan air negara tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya. – mynewshub.my

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story