Jangan Polemikkkan Kematian Kanang!

Jangan Polemikkkan Kematian Kanang...

Malaysia adalah negara yang makmur dan berdaulat.
Walaupun perbezaan pendapat wujud di sana sini, secara umumnya kita masih berpegang kepada kedaulatan undang-undang, memegang teguh kepada kepercayaan agama masing-masing sekaligus mengangkat martabat rukun negara ke tahap yang sepatutnya.
Namun sudah pasti kemakmuran yang dinikmati itu tidak datang dengan sendirinya, kita tidak boleh tolak hakikat yang ramai di antara kita berjuang sehingga ke titisan nyawa yang terakhir demi negara yang tercinta.
Mana mungkin kita lupa jasa Tok Janggut, Datuk Bahaman, Mat Kilau (sekadar menyebut beberapa nama) seperti mana kita tidak akan lupa jasa Rentap, Rosly Dhobi dan Sharif Mashor.
Mana mungkin juga kita lupa jasa Tuanku Abdul Rahman, Tun Tan Siew Sin, Tun Sambathan (sekadar menyebut beberapa nama) seperti mana kita tidak lupa jasa Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Pak Sako.
Bezanya cara perjuangan itu sendiri, ada yang melalui senjata, ada yang melalui rundingan, ada yang melalui penulisan malah ada yang melalui doa, itu pun perjuangan!
Guru juga pejuang, anggota Rela juga pejuang malah kita sendiri pun pejuang!
Justeru itu, salah ke jika Kanang Anak Langkau juga kita iktiraf sebagai pejuang?
Apatah lagi Kanang sanggup ‘bermandi darah dan bersukat nyawa’ demi mempertahankan negara yang tercinta ini daripada petualang komunis yang durjana.
Bagi yang terlupa, pihak admin ingin memberitahu.
Dalam salah satu pertempuran dengan pihak komunis, Kanang telah ditembak hingga perutnya terburai, peluru turut menembusi paru-paru dan buah pinggangnya, namun dengan semangat juang yang tinggi, Kanang telah menyapu sendiri lukanya dengan garam, menyuntik sendiri sedikit morfin untuk menahan sakit sebelum bangun dan kembali membalas tembakan pihak komunis.
Ketika itu dia tidak lagi memikirkan nyawanya, malah sempat menyelamat dan mendukung seorang anggotanya yang tercedera untuk mendapatkan rawatan!
Bagi yang terlupa, keberanian luar biasa beliau bukan sekali, malah berkali-kali sehingga Kanang dua kali menerima anugerah tertinggi keberanian negara, Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Panglima Gagah Berani (PGB), satu-satunya rakyat tunggal negara ini yang mempunyai dua medal berprestij kurniaan dari Yang Dipertuan Agong.
Itu belum dikira anggota komunis yang ‘layu’ di hujung senjatanya.
Jadi salahkah jika beliau mendapat penghormatan yang tinggi daripada negaranya sendiri?
Kanang bukan VIP, Kanang bukan ahli politik dan Kanang bukan tokoh korporat. Beliau juga tidak minta disanjung sebegitu rupa tetapi telah menjadi adat kita – orang berbudi kita berbahasa.
Apatah lagi ‘budinya’ itu cukup mahal harganya…untuk kecederaan parah yang dialaminya itu, Kanang terpaksa dirawat hampir setahun di hospital, belum dicampur rawatan susulan dan sebagainya.
Pun begitu, Kanang tidak mengambil jalan selesa dengan berhenti dari perkhidmatan, beliau masih gagah meneruskan kariernya sebagai anggota tentera sehingga tamat tempoh perkhidmatan wajib bersara.
Justeru apabila laman blog seperti suarapakatanrakyat.com ‘mempersoalkan’ itu dan ini, termasuk kos pengkebumian negara yang terpaksa ditanggung kerajaan dan membandingkan-bandingkan jasanya dengan orang lain, admin tidak nampak kewajaran ia diperkatakan.
Di saat kita menyanjung kebebasan bersuara dan kebebasan untuk melahirkan pandangan, kita kesal kerana kematian pejuang negara ini dipersoal dan dipolemikkan.
Kanang bukan Kanang dahulu, yang masih boleh bangun dan menentang musuhnya walaupun isu perut sudah terburai, Kanang kini sudah tidak mampu bersuara dan terbujur kaku.
Alangkah HINANYA kita hanya berani ‘bertempik dan bersuara’ hanya setelah jasadnya bakal dimamah bumi!
65145_10151331079287402_1115338411_n
Selamat jalan pejuang negara, Pegawai Waran 1 (B),  Temenggung Datuk Kanang Anak Langkau.sumber

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story