Shaheizy Sam Mahu Anak Yang Ramai

Shaheizy Sam

KUALA LUMPUR – Pelakon lelaki kacak, Shaheizy Sam mengakui mahukan anak-anak yang ramai dalam perkahwinannya nanti walaupun belum bertemu jodoh ketika ini.
Shaheizy yang mesra dipanggil Sam tidak meletakkan sasaran umur untuk berkahwin walaupun usianya sudah menjangkau 30 tahun.
Justeru, usia yang kian menginjak naik itu membuatkan Sam berasa mahu berkahwin pada tahun ini.
Tetapi, dia sendiri tahu sikapnya yang agak cerewet dalam memilih pasangan hidup menyebabkan dia masih lagi tidak bertemu pilihan hati walaupun Sam sendiri mempunyai ramai teman dari kalangan wanita.
“Tahun ini, memang saya ada rasa nak berkahwin dan seterusnya memiliki anak yang ramai. Biar 12 orang sekali pun saya tak kisah, jika itulah rezeki saya. Lagipun saya memang suka melayan kerenah kanak-kanak.
“Cuma, sehingga kini saya sekadar berkawan saja dengan wanita, serta belum berkenan dengan mana-mana daripada mereka. Mungkin sikap cerewet saya membuatkan jodoh saya lambat,” kata Sam yang dipetik dari laporan Berita Harian.
Lumrah untuk setiap manusia, memiliki pasangan dan keinginan untuk berkahwin pastinya perkara yang diinginkan dalam hidup masing-masing.
Perkara itu juga difikirkan oleh Sam dan bagi Sam, dia mempunyai ciri-ciri wanita yang tertentu untuk dilihat sebelum menyunting untuk dijadikan sebagai isterinya.
“Bukan apa, saya inginkan wanita yang tidak suka memaksa, sebaliknya membuatkan saya sentiasa tenang.
“Kurang provokasi dan memberi ruang untuk saya berfikir dalam membuat keputusan. Saya mahu ibu yang baik dan penyayang untuk anak-anak saya nanti. Semua ciri itu belum saya temui setakat ini,” terang Sam.
Oleh: NAIMAH SHAARI

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story