Warga Amerika Belum Serik

Warga Amerika

RICHMOND – Beratus-ratus orang peminat berkumpul di pameran senjata api di Virginia, hanya beberapa minggu selepas 27 orang maut dalam keganasan di sebuah sekolah di Connecticut.
Ketika gesaan orang ramai supaya pemilikan senjata api seperti yang digunakan dalam tragedi itu dikekang, peniaga berkumpul untuk menjual produk mereka di Chantilly, Virginia, hujung minggu lalu.
Media melaporkan, kadar jualan senjata api di pameran itu turut mencatat rekod tertinggi.
Seorang pengedar senjata api memberitahu, syarikatnya menjual lebih 10 pucuk raifal AS-15 seperti digunakan Adam Lanza ketika menembak mati 20 kanak-kanak dan enam orang dewasa sebelum dia membunuh diri pada 14 Disember lalu.
Katanya, jualan itu dibuat hanya dalam tempoh sejam.
“Kadar jualan itu memang luar biasa,” katanya. Dalam tragedi bulan lalu, Lanza, 20, menembak mati ibunya di rumah mereka sebelum menyerang Sekolah Rendah Sandy Hook di Newtown, Connecticut, dan melepaskan tembakan rambang.
Selain AS-15, Lanza turut membawa beberapa pucuk senjata api lain.
Pertunjukan Senjata Api Kebangsaan diadakan di Pusat Ekspo Dulles itu turut menjual peluru, raifal, senjata separa automatik serta mesingan. Beberapa jurujual berkata, semua simpanan mereka untuk pameran itu habis dijual dalam tempoh beberapa jam saja.
Antara senjata paling popular, kata seorang jurujual, ialah raifal separa automatik dan magazin peluru 30 butir.
“Secara purata, 1.8 senjata api dijual dalam tempoh seminit,” katanya.
Pengunjung pula sanggup berbaris berjam-jam untuk menjadi pengunjung pertama pameran berkenaan.
Sementara itu, peminat berkata, permintaan tinggi itu didorong kebimbangan orang ramai terhadap kemungkinan undang-undang baru diperkenalkan bagi mengharamkan pengeluar menghasilkan senjata api berkeupayaan tinggi seperti diguna Lanza. Seorang daripada mereka, Aaron Sizemore, berkata peminat senjata api mahu mendapatkan senjata yang diidamkan sekian lama kerana mungkin ia sukar diperoleh pada masa depan.
“Kami juga mungkin terpaksa mengeluarkan lebih perbelanjaan untuk mendapatkannya nanti,” katanya. Harga minimum untuk sepucuk raifal AR-15 ialah RM2,200.
Lebih menggerunkan, remaja dan kanak-kanak juga dibenarkan memasuki pameran berkenaan dan kebanyakan pengunjung turut menandatangani petisyen membantah sebarang langkah pengawalan senjata api. – DM

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story