Pesta Cinta Untuk Bertemu Bekas Kekasih

Pesta Cinta Untuk Bertemu Bekas Kekasih

Lumrah dalam percintaan, kadang-kadang setiap hubungan itu akan berakhir dengan perpisahan yang perit mahu pun secara terpaksa.
Kesan perpisahan itu pastinya meninggalkan tanda yang mendalam bagi setiap insan yang mengalami pengalaman manisnya bercinta.
Sekiranya berpisah secara teruk, perasaan sakit hati mahu pun sedih, dendam akan terlekat dalam hati kita.
Keadaan itu membuatkan kita tidak mahu bertemu langsung dengan bekas kekasih kerana takut dibayangi rasa kesedihan atau mungkin terbayang kembali kenangan sewaktu bercinta.
Berbeza di negara Vietnam, ‘Pesta Cinta’ diadakan di sebuah perkampungan, Khau Vai hanya tujuan untuk bertemu dengan bekas-bekas kekasih yang dulu.
Mereka pasti akan mengadakan pesta cinta itu setiap tahun pada hari yang ke 26 dan 27 setiap tiga bulan dalam kalendar Lunar.
Penduduk-penduduk yang datang ke pesta itu adalah penduduk dari wilayah Nung, Tay, San Chi, Lo lo, Dzao, Giay dan Hmong.
Mereka akan bertemu semula dengan bekas kekasih dan menghabiskan masa bersama selama dua hari itu untuk mengenal hati diri masing-masing selain mengetahui perkembangan hidup bekas kekasih masing-masing kerana tidak dapat melakukan perkara tersebut sewaktu sedang bercinta dahulu.
Hingga kini, tradisi itu masih lagi diteruskan.
Kisah Pesta Cinta itu tercetus daripada kisah cinta yang menyayat hati penduduk di kampung itu sendiri.
Suatu ketika dahulu, seorang gadis yang cantik, Giay dari wilayah Ha Giang telah jatuh cinta kepada seorang lelaki dari wilayah Nung yang bernama Cao Bong.
Namun, percintaan mereka itu dihalang kerana Cao Bong tidak layak mengahwini Giay kerana Giay terlalu cantik dan gadis itu mesti berkahwin dengan lelaki dari puaknya sendiri, yang setanding dengan kecantikan dirinya.
Percintaan mereka itu berlarutan hingga tercetusnya perang pertumpahan darah antara dua wilayah tersebut.
Demi menyelamatkan wilayah masing-masing, Giay dan Cao Bong telah mengambil keputusan untuk berpisah kerana tidak sanggup membiarkan peperangan berlanjutan.
Walaupun sudah berpisah, tanpa diketahui sesiapa, Giay dan Cao Bong telah mengaturkan pertemuan sulit antara mereka pada hari ke 27 dalam tiga bulan kalendar Lunar.
Jadi, setiap tahun mereka berjumpa secara sulit tanpa diketahui sesiapa pun.
Menerusi kisah percintaan Giay dan Cao Bong, tradisi pertemuan cinta antara bekas kekasih masih lagi diadakan hingga kini.
Oleh: NAIMAH SHAARI
Sumber: Oddity Central

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story