Noraniza Idris Menyara Suami Tidak Bekerja?

Noraniza Idris

Sejak penyanyi lagu Awallah Dondang ini berkahwin untuk kali kedua dengan seorang bilal dari Singapura, nama Noraniza Idris agak jarang kedengaran.
Bagaimanapun, selepas setahun hidup bersama Jeffri Hudi, 53, timbul pula dakwaan kurang enak mengenai Noraniza yang dikatakan telah mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga.
Dalam erti kata lain, Noraniza kini menggalas tugas menyara suaminya yang tidak bekerja.
Memetik laporan Sinar Harian, Noraniza, 44, yang mesra disapa Kak Ani menjelaskan, suaminya lebih suka bersikap low profile walaupun sering terlibat dalam program seni yang membabitkannya.
“Mungkin orang lihat saya lebih menonjol kerana gelaran status selebriti yang saya pegang.
“Manakala, suami saya pula banyak terlibat dalam urusan pemasaran. Sebab itu, orang tidak nampak dia sangat,” katanya.
Tambahnya, suaminya juga masih mempunyai pekerjaan lain yang perlu diberi komitmen.
Dia kini menjalankan perniagaan membekal barang-barang runcit serta menjadi bilal bebas di masjid di Seri Kembangan, Selangor.
“Sudah tentu dia juga perlu mencari rezeki kerana mempunyai anak-anak di Singapura.
“Lagipun, takkan semua aktivitinya hendak dikongsi dengan media kerana dia bukan artis,” kata ibu kepada Mohammad Aliff Haiqal, 23, dan Mohd Alfeeq Haikal, 19, ini.
Dalam pada itu, kini suaminya sudah pun memohon untuk menjadi warganegara Malaysia.
Buat masa ini, dia sudah menetap di sini dan sedang menunggu kelulusan permohonan kewarganegaraan Malaysia.
“Malah, dia juga semakin menyesuaikan diri dengan suasana di sini,” katanya yang akan memperlahankan karier seninya selepas September ini demi memenuhi permintaan suami.
Oleh: NURUL NAFISAH MAZLAN

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story