KUANTAN – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta agar rakyat tidak menyalahkan kerajaan apabila terjadi sesuatu musibah atau bencana alam seperti banjir baru-baru ini.
Beliau berkata terdapat faktor lain yang menyebabkan berlakunya musibah banjir iaitu kedatangan musim tengkujuh dan masalah pemanasan global yang berlaku di seluruh dunia ketika ini.
“Salah satu daripada fakta yang menyebabkan banjir berlaku adalah musim tengkujuh (yang berlaku saban tahun) di mana pada musim itu kita mendapat hujan yang lebat dari biasa.
“Ada juga unsur yang melanda dunia iaitu kepanasan global dan perubahan iklim di mana kesan fenomena ini sukar untuk ditaksirkan tetapi mengikut pakar kaji cuaca jika hujan turun ia akan akan turun lebih lebat dari biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis penyampaian sumbangan Wang Ehsan kepada 686 keluarga mangsa banjir di Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) di sini, Sabtu. Turut hadir, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mohd Saffian Ismail.
Najib dalam pada itu berkata kerajaan akan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dan membantu rakyat menangani fenomena perubahan cuaca ini.
“Kita tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak sebab nak menghadapi masalah perubahan cuaca ini memerlukan usaha global yang belum ditangani secara berkesan oleh komuniti antarabangsa.
“Namun sebagai kerajaan kita akan berusaha berdepan dengan fenomena ini dan menguruskan bencana banjir dengan sebaik mungkin,” katanya.
Katanya, kerajaan memberikan yang terbaik kepada rakyat berikutan pengurusan dan pentadbiran yang berkesan pertumbuhan ekonomi yang baik memberikan pendapatan lebih kepada negara.
“Jadi dengan hasil yang bertambah ini kita mampu menolong rakyat (sekiranya ditimpa musibah) dan kalau ada rezeki lebih lagi kita akan tolong lebih lagi,” katanya.
Najib dan Rosmah pada majlis itu turut menyampaikan sumbangan wang ihsan berjumlah RM500 kepada keluarga mangsa banjir yang melanda Kuantan baru-baru ini. -BERNAMA
0 comments:
Post a Comment