Najib Yakin MRT Siap Ikut Jadual

Najib Yakin MRT Siap Ikut Jadual

KUALA LUMPUR – Fasa pertama pembinaan projek Aliran Transit Massa (MRT), diyakini dapat disiapkan mengikut jadual asal iaitu pada akhir tahun 2016.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pelaksanaan fasa pertama Laluan 1 Sungai Buloh-Kajang yang bermula dari stesen Sungai Buloh ke stesen Semantan, menepati bajet yang ditetapkan dan kos pembinaan dijangka tidak melebihi RM23 bilion.
Laluan pertama MRT (Sungai Buloh-Kajang) membabitkan dua fasa iaitu Sungai Buloh ke Semantan (fasa satu) dan Semantan ke Kajang (fasa dua). Projek itu melibatkan jarak 51 kilometer dengan 31 stesen perhentian yang turut melalui pusat bandaraya Kuala Lumpur.
Beliau berkata masalah yang dihadapi sebelum ini untuk pelaksanaan projek itu, sebahagian besarnya dapat diselesaikan dengan baik, terutamanya berkaitan pengambilan tanah.
Najib berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan ke tapak pembinaan stesen MRT bawah tanah Cochrane, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Datuk Azhar Abdul Hamid, Pengarah Bawah Tanah-Terowong Blaise Mark Pearce, dan Pengerusi MRT Corp Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Perdana Menteri berkata secara umumnya, reaksi rakyat terhadap projek itu semakin positif kerana mereka melihat projek itu bukan sahaja membantu penghuni di Kuala Lumpur dari segi pengangkutan awam, malah dari segi peningkatan nilai tanah yang begitu ketara terutamanya di kawasan yang terdapat stesen MRT.
“Dengan pelaksanaan projek MRT ini, peluang perniagaan yang baharu akan disediakan serta ia juga akan meletakkan imej Kuala Lumpur sebaris dengan bandar raya utama di dunia,” katanya.
Najib berkata fasa kedua dari stesen Semantan ke Kajang pula dijangka siap pada akhir Julai 2017, seperti yang dijadualkan.
Katanya selepas pelaksanaan kedua-dua fasa, kerajaan akan membuat keputusan sama ada perlu untuk menyambung projek ini.”Setakat ini, kita dapati pengalaman yang kita telah lalui adalah amat positif dan kita dapat lihat bagaimana peluang syarikat-syarikat besar dan kecil untuk mengambil bahagian dalam projek ini.
“Hari ini sahaja, saya berjumpa dengan begitu ramai jurutera rakyat Malaysia yang mana mereka mendapat peluang untuk mengambil bahagian dalam projek begitu besar dengan menggunakan teknologi terkini, yang tidak mungkin mereka akan memperoleh pengalaman ini, jika tidak ada projek sebegini,” kata beliau.
Terdahulu, Perdana Menteri yang tiba di lokasi pada jam 4.15 petang, diberi taklimat keselamatan sebelum dibawa ke platform tinjauan untuk melihat status pembinaan keseluruhan jajaran Sungai Buloh-Kajang.
Najib juga diberi taklimat tentang kepentingan lokasi pembinaan itu dan aktiviti yang dijalankan di tapak itu.
Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, Azhar berkata fasa pertama jajaran dari Sungai Buloh ke stesen Semantan akan mula beroperasi pada akhir 2016.Beliau berkata Cochrane menjadi lokasi di mana empat mesin pengorek terowong atau ‘tunnel boring machine’ (TBM) akan dilancarkan, dijangka pada April.
Katanya dua mesin itu akan menggali ke arah utara menuju ke stesen Pasar Rakyat, yang terletak di tapak pembangunan Tun Razak Exchange.
Selain itu, dua lagi TBM pula akan menggali ke arah selatan ke Portal Maluri, di mana jajaran Sungai Buloh-Kajang akan naik ke permukaan bumi dari bawah tanah dan menjadi jajaran bertingkat menuju ke Kajang.
Sehubungan itu, sepuluh buah TBM, termasuk TBM Pembolehubah Ketumpatan atau ‘Variable Density’ TBM pertama di dunia yang direka khas untuk mengorek terowong melalui Formasi Batu Kapur Kuala Lumpur akan digunakan untuk projek ini.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana meluangkan masa melawat tapak pembinaan dan status projek, Azhar berkata sasaran projek MRT adalah penggunaan pengangkutan awam sebanyak 50 peratus daripada kesemua perjalanan yang dilakukan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Kelang.
“Tahap mobiliti yang bakal dicapai akan menyokong matlamat Bidang Ekonomi Utama Negara Greater Kuala Lumpur/Klang Valley untuk menjadikan Kuala Lumpur antara 20 bandar raya di dunia yang berkembang dari segi ekonomi dan taraf hidup menjelang 2020,” katanya. – Bernama

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story