Jangan Politikkan Isu Ganti Rugi Mat Yo

Jangan Politikkan Isu Ganti Rugi Mat Yo

JOHOR BAHRU- Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meminta Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa supaya tidak lagi mempolitikkan isu pembayaran ganti rugi penyerang Darul Takzim FC, Norshahrul Idlan Talaha atau ‘Mat Yo’.
Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berkata, arahan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya menghendaki Norshahrul menjelaskan bayaran ganti rugi sebanyak RM250,000.
“Pembayaran yang diarahkan oleh FAM adalah sebanyak RM250,000 kepada KAFA, yang akan dibayar hari ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Tunku Ismail berkata, Norshahrul yang juga penyerang kebangsaan dan ‘Pemain Paling Bernilai’ Liga Super musim lalu sudah melantik peguam yang akan mengendalikan isu pembayaran ganti rugi itu.
Katanya, Annuar perlu bertindak secara profesional di dalam bidang sukan dengan tidak mempolitikkan atau membesar-besarkan sebarang isu berkait perpindahan Norshahrul ke Darul Takzim FC.
Semalam, Annuar membangkitkan isu pembayaran ganti rugi perpindahan Norshahrul daripada Kelantan ke Darul Takzim FC, dengan menyatakan KAFA sehingga kini belum menerima bayaran pampasan daripada pemain kebangsaan itu.
Presiden KAFA itu turut menyatakan, kontrak Norshahrul dengan The Red Warriors masih berbaki 13 bulan dengan nilai kira-kira RM400,000.
Tunku Mahkota Johor berkata, penyerang kebangsaan itu tidak perlu dijadikan ‘kambing hitam’ oleh mana-mana pihak untuk menjejaskan reputasi pasukan Harimau Selatan itu.
Pasukan Darul Takzim FC dan Johor katanya, sentiasa bertindak profesional di dalam padang atau di luar dan tidak memburukkan nama mana-mana pasukan bola sepak lain.
Selain Norshahrul, pemain kebangsaan yang menyertai Darul Takzim FC musim ini termasuk ketua pasukan Harimau Malaya, Safiq Rahim, Safee Sali, Azmi Muslim, Muslim Ahmad dan pasangan adik-beradik Zaquan Adha serta Aidil Zafuan.
Johor yang berbelanja besar tahun ini turut membawa masuk bekas pemain kebangsaan Sepanyol, Daniel Guiza dan bekas pemain kelab Lazio, Simone Del Nero untuk menyertai pasukan Darul Takzim FC musim ini. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Loading...

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story