Warga kota Bayar RM10j Setahun Saman Trafik

Saman Trafik

KUALA LUMPUR – Pemandu di Kuala Lumpur membayar denda kira-kira RM10 juta setahun atas kesalahan melanggar lampu isyarat.
Menurut Polis Kuala Lumpur, sebanyak 22,054 saman dikeluarkan sejak Januari hingga September tahun lalu dan 33,836 saman pada 2010 yang membabitkan RM10.15 juta dikeluarkan kepada pengguna jalan raya di ibu kota.
Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor, berkata untuk tempoh sama tahun lalu, sebanyak 35,185 saman dikeluarkan bagi kesalahan melanggar lampu isyarat menjadikan jumlah saman RM10.55 juta.
Untuk setiap kesalahan lampu isyarat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, setiap pesalah trafik dikenakan denda RM300.
Beliau berkata, saman yang dikeluarkan adalah berdasarkan rakaman kamera yang diletakkan di persimpangan lampu isyarat dan oleh anggota trafik yang ditempatkan mengawal lalu lintas di sekitar ibu kota.
Pendedahan jumlah pengeluaran saman serta ‘bayaran kesalahan’ itu hanya meliputi kawasan di dalam ibu negara sahaja, namun berapa banyak pula saman dikeluarkan kepada pengguna dan di seluruh negara? Tentu jumlahnya berlipat kali ganda.
Ia jelas memberi gambaran sikap rakyat negara ini yang ternyata tidak sayang nyawa, sanggup menggadai keselamatan diri dan orang lain semata-mata mahu tiba awal ke destinasi dituju.
Bagi mereka, wang bukanlah suatu masalah besar untuk ‘membayar’ kesalahan yang dilakukan, justeru, undang-undang dilihat kurang ‘berkesan’ mengikis sikap penting diri mereka.
Laporan akhbar, iklan di televisyen yang memaparkan kemalangan tragis yang berlaku akibat tidak mematuhi lampu isyarat, juga tidak memberi kesan kepada golongan seperti ini.
“Semua ini berbalik kepada diri masing-masing… soal jaga diri, beringat tentang keselamatan orang lain dan sikap penting diri sendiri. Belajarlah menghormati hak pengguna jalan raya yang lain.
“Ramai pemandu menganggap remeh terhadap menghormati lampu isyarat namun hakikatnya ia menjamin keselamatan pemandu dan melancarkan laluan trafik di ibu negara agar jalan raya tidak sesak sepanjang masa,” katanya.
Rusly berkata, sikap tidak bertanggungjawab itu bukan saja mengundang bahaya kepada pemandu yang melanggar lampu isyarat tetapi juga kepada pemandu lain.
“Ramai orang tidak faham, lampu isyarat kuning bukan bermaksud anda perlu meningkatkan kelajuan, tetapi ia bermaksud anda perlu bersedia untuk berhenti, perlahankan kenderaan atau lebih elok, terus berhenti,” katanya.
Beliau berkata, cadangan meningkatkan kadar kompaun kerana kesalahan melanggar lampu isyarat memang boleh dilaksanakan, tetapi ia hanya membebankan golongan kurang berkemampuan.
“Mereka yang tak mampu mungkin serik (langgar peraturan)… tetapi bagaimana pula dengan golongan yang berduit dan saman yang berkeping-keping itu mudah sahaja dilunaskan,” katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story