Krisis Air: Khalid Salahkan SYABAS

Krisis Air: Khalid Salahkan SYABAS

BESTARI JAYA – Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Jumaat terus menyalahkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) berikutan masalah bekalan air yang melanda 500,000 penduduk di Gombak dan Kuala Lumpur.
Beliau mendakwa pihaknya telah mengesan kerosakan pam di rumah pam Wangsa Maju dan Pudu Hulu Baru sejak tahun lepas dan sudah memaklumkan kepada pihak Syabas mengenai perkara itu.
Abdul Khalid berkata demikian semasa melawat keadaan struktur bumbung 14rumah di Taman Pancaran di sini yang senget dan retak.
Beliau berkata jika pengurusan Syabas sudah mengetahui mengenai kerosakan itu sepatutnya mereka bertindak.
Abdul Khalid berkata Syabas memberi alasan tidak cukup duit untuk membaiki pam itu kerana tarif air tidak naik tetapi rakyat Selangor tidak mahu kenaikan tarif air.
Oleh itu, jika Syabas tidak mampu, serahkan sahaja konsesi air itu kepada kerajaan negeri, katanya.
Beliau juga berkata permohonan Syabas bagi membangunkan sistem pengepaman tambahan baru di Wangsa Maju dibuat pada November tahun lepas dan disokong oleh Kerajaan Selangor pada awal tahun ini.
Mengenai tindakan Universiti Selangor (Unisel) menutup sembilan asramanya, Abdul Khalid berkata itu bukan kehendak Unisel tetapi adalah keputusan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan.
Mereka mendapati saluran paip kumbahan asrama itu tidak disalurkan ke pusat pemprosesan kumbahan, katanya.
Rabu lepas Unisel mengarahkan asrama itu dikosongkan kerana terdapat keretakan pada bangunan itu dan ada antaranya yang mendap kerana dibina di atas kawasan lombong.BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story