Polis Buru 2 Lelaki Samun Pelancong Asing

Samun Pelancong Asing

GEORGETOWN — Polis sedang mengesan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kes samun tiga pelancong asing di Sungai Lembu, Seberang Perai Tengah (SPT) dekat sini semalam.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, sebelum kejadian pada 4 petang itu, dua wanita dan seorang lelaki warga Maghribi berusia 20-an dikatakan baru tiba di Lapangan Terbang Antarbangsa Pulau Pinang dan menaiki sebuah kereta untuk ke sebuah hotel di Batu Ferringhi.
Bagaimanapun, katanya, pelancong berkenaan mengesyaki pemandu kereta yang turut membawa seorang rakannya tidak menuju lokasi hotel sebaliknya menuju ke tanah besar.
“Pelancong Maghribi itu kemudiannya bertengkar sebelum bergelut dengan pemandu kereta dan rakannya itu dan mereka kemudiannya diarah keluar dari kereta sebelum disamun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, pelancong itu ditinggalkan di Sungai Lembu di kawasan Bukit Mertajam dan disamun wang tunai berjumlah RM2,000 dan telefon bimbit.
Mazlan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh juga didenda atau disebat, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story