Citilink Beli 25 Pesawat Turboprop ATR

Pesawat Turboprop ATR

JAKARTA – Syarikat penerbangan Indonesia, Garuda menerusi bahagian tambang murahnya, Citilink menyatakan telah menempah 25 buah pesawat turboprop daripada ATR dalam usaha memenuhi pasaran penerbangan domestik yang pesat berkembang menerusi pembelian bernilai AS$500 juta (RM1.5 bilion).
“Kami telah menempah 25 unit pesawat ATR 72-600, selain akan menyewa atau membeli 25 buah pesawat lagi pada tahun 2015.
“Dengan pesawat baharu ini, kami mahu menembusi wilayah-wilayah pedalaman dan bandar-bandar yang mempunyai kemudahan penerbangan terhad,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Citilink, Arif Wibowo.
Rakyat Indonesia bergantung kepada pengangkutan udara berikutan kedudukan geografi gugusan kepulauannya. Syarikat penerbangan di Indonesia juga sering membuat pembelian pesawat dalam jumlah yang besar berikutan golongan pertengahan negara itu kian meningkat.
Pada November 2011, Lion Air mengumumkan tempahan pesawat komersial terbesar di dunia apabila menyatakan hasrat untuk membeli 230 unit pesawat Boeing bernilai lebih AS$20 bilion (RM60 bilion).
ATR ialah syarikat kerjasama Perancis dan Itali yang berpangkalan di Tolouse, Perancis. Ia menghasilkan pesawat turboprop yang berharga lebih AS$20 juta (RM60 juta) sebuah.
Citilink dijangka menerima lima buah pesawat pertamanya pada September depan. Bakinya dihantar menjelang 2017 dengan kontrak pembelian akan dimuktamadkan pada hujung bulan ini.
Citilink kini memiliki 21 buah pesawat, termasuklah Airbus A320 dan Boeing 737. – AFP

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story