Ronaldo Jadi Pelajar Semula

Ronaldo

Brazil – Bekas penyerang Real Madrid, Ronaldo bakal berhijrah ke Britain selama dua tahun bagi memastikan impiannya untuk bergelar pelajar akan menjadi kenyataan.
Bintang bola sepak Brazil itu dijadual tiba di London bulan depan dan akan mengikuti pengajian dalam bidang pengiklanan.
Beliau dilaporkan akan bekerja sambil belajar dengan syarikat WPP, iaitu sebuah kumpulan syarikat pengiklanan terbesar di dunia dan akan berada di bawah jagaan pengasas syarikat berkenaan, Sir Martin Sorrell.
WPP merupakan sebuah syarikat besar yang mempunyai 162,000 pekerja dan 3,000 pejabat di 110 negara.
Dikenali sebagai The Phenomenon di Brazil, Ronaldo kini bergelar usahawan dan memiliki sebuah agensi pemasaran sukan.
Beliau yang menetap di dua tempat iaitu di Sao Paulo dan Rio de Janeiro, juga memiliki kepulauan di pesisir pantai Rio.
Dalam satu temubual, Ronaldo, 36, memberitahu beliau tidak sabar-sabar lagi untuk menjadi pelajar semula.
“Banyak yang telah saya pelajari dalam hidup terutama ketika saya mengembara dan menetap di negara orang.
“Itu semua adalah pelajaran dalam kehidupan, namun kini saya ingin belajar di sekolah,’’ katanya.
Ronaldo atau nama sebenarnya Ronaldo Nazario de Lima, bersara daripada bola sepak tahun lalu selepas mencapai kejayaan cemerlang dalam kariernya itu.
Beliau juga membantu Brazil menjuarai Piala Dunia dengan menjaringkan dua gol dalam perlawanan akhir.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story