Ako Mustapha Kecewa Dibayar Rendah

Ako Mustapha

KUALA LUMPUR – Pelakon, Ako Mustapha dikhabarkan kecewa kerana masih menerima bayaran rendah dari sesetengah produser walaupun hasil kerja lakonannya sudah bermula sejak 15 tahun lalu.
Ako atau nama sebenarnya, Muhaizad Ahmad Mustapha, 41, berkata, sebagai pelakon senior dia bukan meminta untuk disanjung tetapi berharap bayaran diberikan setimpal dengan usaha yang telah dicurahkan.
“Saya bukan seorang pelakon yang ‘demand’ tentang bayaran tetapi jika tawaran yang diterima masih sama seperti saya mula-mula berlakon dulu, itu adalah tidak adil.
“Jika saya masih bujang mungkin saya tidak kisah sangat tetapi kini saya mempunyai tanggungan yang perlu diberi perhatian,” jelasnya yang dipetik dari mStar Online di sini, hari ini.
Menyedari hakikat yang industri tempatan ini sudah semakin tidak menentu, Ako berkata sejak dua tahun lalu dia telah menceburi bidang perniagaan bagi memastikan masa depan dua puterinya, Merissa Tempawan, 3, dan Myra Fatimah yang berusia 7 bulan terjamin.
“Selepas berkahwin saya perlu memikirkan mengenai keluarga dan bukan hanya mementingkan diri sendiri dan sebab itu saya perlu buat sesuatu bagi menjamin masa depan anak-anak saya dan tidak hanya mengharapkan kepada lakonan semata-mata.
“Lakonan adalah hobi bagi saya yang bertujuan untuk membolehkan saya menjelaskan bil bulanan,” katanya tanpa berselindung.
Dia juga berasa puas apabila dapat melakukan sesuatu untuk keluarga dan mereka adalah perkara penting buatnya.
Dalam perkembangan lain, Ako sibuk di lokasi drama bersiri Kerana Sarah selain beberapa projek yang masih dalam perbincangan.
Oleh: NURUL NAFISAH MAZLAN

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story