Sultan Ibrahim Ziarah Makam Diraja Sempena Hari Hol

Sultan Ibrahim

JOHOR BAHRU – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan menziarahi makam anggota kerabat diraja Johor di Makam Diraja Mahmoodiah, Jalan Mahmoodiah, dekat sini, bersempena Hari Hol hari ini.
Baginda tiba di perkarangan makam tersebut pada kira-kira 8.55 pagi dan disambut oleh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Sultan Ibrahim, Tunku Bendahara Johor Tunku Abdul Majid Sultan Iskandar dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ismail Karim, Speaker Dewan Undangan Negeri Tan Sri Mohamad Aziz, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, kalangan anggota Exco kerajaan negeri, Anggota Dewan Undangan Negeri Johor, anggota Parlimen, pegawai daerah dan pegawai kanan kerajaan.
Sultan Ibrahim memulakan upacara dengan menziarahi makam ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail yang mangkat pada 22 Jan 2010, pada usia 77 tahun.
Baginda kemudiannya menziarahi makam anakanda baginda, Tunku Laksamana Johor Almarhum Tunku Abdul Jalil, yang mangkat pada 5 Dis 2015 akibat kanser hati pada usia 25 tahun.
Sultan Ibrahim dilihat sebak dan mengesat air mata ketika menyirami air mawar di makam kedua-dua almarhum sebelum doa dibacakan.
Baginda meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk menziarahi semua makam anggota kerabat diraja Johor di Makam Diraja termasuk makam nenda baginda Almarhum Sultan Ismail Sultan Ibrahim dan Almarhum Sultanah Aminah Ungku Ahmad dan moyang baginda Almarhum Sultan Ibrahim.
Mufti Negeri Johor Datuk Tahrir Samsudin mengetuai bacaan doa di setiap makam yang diziarahi.
Hari Hol adalah acara keagamaan bersempena memperingati kemangkatan Almarhum Sultan-Sultan Johor yang telah diamalkan sejak tahun 1896 dan hari tersebut adalah cuti umum negeri Johor.
Amalan tradisi utama hari berkenaan adalah berkunjung ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, dengan Sultan Johor akan mengetuai anggota kerabat lelaki yang terdekat untuk menziarahi makam anggota kerabat Diraja Johor. – BERNAMA




Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story