QPR Tewaskan Chelsea 1-0 Di Stamford Bridge

QPR - Chelsea

Rentak kemenangan Chelsea sepanjang empat perlawanan tersentak selepas mereka tewas mengejut 1-0 kepada pasukan tercorot, QPR yang meraih kemenangan pertama di Stamford Bridge sejak dua dekad, awal pagi tadi.
Shaun Wright-Phillips yang masuk sebagai pemain gantian selepas David Hoilett mengalami kecederaan seawal minit ke-16 berjaya menjaringkan gol kemenangan QPR ke atas bekas kelabnya itu pada minit ke-78.
Kemenangan itu menamatkan tiga kekalahan berturut dialami QPR dan ia kemenangan kedua mereka musim ini sejak diambil alih Harry Redknapp bulan lalu.
Namun QPR masih kekal di tangga tercorot dengan 13 mata, sama mata dengan pasukan di tangga ke-19, Reading dan kurang lima mata berbanding Southampton dan Wigan di tangga ke-17 dan 18.
Sementara Chelsea pula gagal merampas semula tangga ketiga daripada Tottenham apabila kekal 38 mata di tangga keempat, kurang satu mata di belakang Tottenham, namun masih berkelebihan satu perlawanan.
Di Anfield, jaringan Raheem Sterling pada minit ke-19 disusuli dua jaringan Luis Suarez pada minit ke-26 dan 52 membolehkan Liverpool menewaskan Sunderland 3-0.
Ia menjadikan jumlah jaringan Suarez pada saingan liga musim ini kepada 15 gol dan kemenangan awal pagi tadi turut disaksikan pemain yang baru dibeli Liverpool daripada Chelsea, Daniel Sturridge yang berada di tempat duduk penonton selepas selesai urusan perpindahannya, semalam.
Kemenangan itu membolehkan Liverpool melonjak ke tangga ke-8 dengan mengumpul 31 mata.
Di St James Park pula, Newcastle terus kecewa apabila kali ini tewas 2-1 kepada Everton biarpun beraksi di laman sendiri.
Papiss Demba Cisse meletakkan Newcastle di hadapan seawal minit ke-2, namun Everton memastikan tiga mata penuh dibawa pulang mereka apabila membalas dengan dua gol menerusi Leighton Baines (43) dan Victor Anichebe (60).
Everton naik ke tangga ke-5 untuk memintas Arsenal manakala Newcastle terus kekal di tangga ke-15.
Saingan Liga Perdana Inggeris hanya akan bersambung pada 12 Januari depan bagi memberi laluan kepada aksi Piala FA, hujung minggu ini. – mynewshub.my

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story