KUALA LUMPUR – Jalan masuk utama ke Puncak Setiawangsa, di sini ditutup sepenuhnya lewat malam Sabtu berikutan tanah runtuh di kawasan tersebut pada Jumaat lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Othman Abu Bakar berkata jalan alternatif dibuka di Persiaran Setiawangsa bagi laluan kepada penduduk setempat.
“Jalan tersebut dikawal oleh anggota polis dan Rela bagi kelancaran lalu lintas,” katanya di sini Ahad.
Beliau berkata Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) menyatakan sehingga kini masih berlaku pergerakan tanah yang aktif di kawasan cerun.
“Tujuh buah banglo di Puncak Setiawangsa berada di zon bahaya dan telah dikosongkan manakala 22 rumah yang lain berada dalam keadaan selamat dan boleh diduduki,” katanya.
Sehingga pukul 3 petang ini, 86 penduduk yang telah berdaftar dengan pusat gerakan yang dibuka, katanya.
Beliau berkata 13 unit kedai dua tingkat dan 52 unit teres yang terletak 100 meter dari cerun runtuhan telah dikosongkan.
Pelajar Politeknik Ibrahim Sultan Johor, Ahmad Zuriyad, 20, berkata beliau kini tidak dapat menuntut pakaiannya yang dihantar di sebuah kedai dobi di Bukit Setiawangsa ekoran insiden tanah runtuh itu.
“Saya menghantar baju-baju itu sehari sebelum kejadian untuk dibawa balik ke kampus pada Isnin tapi sekarang ni saya pun tak tahu bagaimana.
“Pekerja dobi ada menelefon saya namun mengatakan mereka menunggu arahan daripada pihak polis sebelum dibenarkan masuk ke kedai semula,” katannya.
Selain kedai dobi terdapat beberapa premis perniagaan lain antaranya kedai tempahan jahitan, agensi pelancongan, kedai gunting rambut, klinik, kedai runcit dan restoran.
Pemilik Cantumas Travel & Tours Sdn. Bhd, Norlida Hassan, 49, mengakui banyak kesan yang dihadapi memandangkan premisnya turut diarah tutup atas faktor keselamatan.
“Agensi saya banyak berurusan dengan pelanggan yang menempah tiket pelancongan dan lebih menyukarkan kerana semua sistem kami berada di dalam pejabat.
“Kami ada meminta bantuan Telekom untuk menyambungkan semua panggilan pelanggan ke telefon bimbit kami yang sepatutnya disambung ke agensi untuk memudahkan operasi,” katanya.
Norlida berkata beliau akan mengadakan mesyuarat bersama kakitangannya untuk memikirkan alternatif lain sama ada berpindah ke tempat baharu atau menunggu keadaan pulih seperti sedia kala.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Noriah Kasnon turut meninjau lokasi kejadian tanah runtuh.
Noriah berkata kementerian akan menyediakan kaunselor dengan menggunakan sebuah van bergerak Mayang bagi memberi sokongan kepada mangsa yang terlibat.
“Kita turut menyediakan segala kemudahan kepada mereka walaupun mereka mampu dan juga dalam proses mendapatkan profil penduduk,” katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment