Kami Serah Anak Kami Sempurna, Tetapi…

image (1)

KODIANG – Seorang isteri muda yang ditemui mati dibunuh dipercayai akibat cemburu di Kampung Alor Gelegah, Mukim Derga, kelmarin dikatakan mula menunjukkan perubahan selepas berkahwin enam bulan lalu.
Paling ketara, Nur Fatimah Anis Md Radzi, 17, jarang pulang ke rumah ibu bapanya di Kampung Palas, dekat sini.
Bapa mangsa, Md Radzi Dahari, 47, berkata, anaknya mengenali menantunya itu dua minggu sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga.
Menurutnya, selepas berkahwin, anaknya itu pulang ke rumah menyambut Aidilfitri bersama mereka dan kali terakhir anaknya pulang penghujung November lalu untuk mengambil adiknya tinggal bersama berikutan suaminya bertugas di Perak.
“Kebiasaannya, setiap sambutan ulang tahun kelahirankami, dia (Fatimah) sering membawa pulang hadiah dan kek untuk kami berdua tetapi tidak berbuat demikian selepas berkahwin.
“Cuma pada malam kejadian dia menghubungi saya bertanyakan mengenai adik-beradiknya yang lain sekiranya mereka ada membelikan hadiah untuk kami atau tidak.
“Bagaimanapun kami mendapat panggilan daripada kakak iparnya yang mengatakan dia sudah meninggal pada keesokannya,” katanya.
Ibu mangsa, Mariam Murad, 46, berkata, pada mulanya dia memang tidak percaya berita mengenai kematian anaknya.
“Mereka (kakak ipar mangsa) memberitahu anak makcik tiada, saya sangka dia melarikan diri dari rumah. Rupanya dia sudah tiada bersama kami lagi.
“Hancur luluh hati mak cik selepas mendapat tahu berita kematian Fatimah dan kami tidak menyangka dia akan pergi terlebih dahulu menghadap Ilahi,” katanya.
Menurutnya, anaknya itu tidak pernah menceritakan apa-apa mengenai hal rumah tangganya.
Katanya, buat masa ini dia menyerahkan segala keputusankepada pihak berkuasa dan mahkamah.
“Sekiranya benar kejadian itu dilakukan secara sengaja dan mahkamah mengesahkannya, saya tidak akan memaafkan pembunuh tersebut kerana menyebabkan kematian anak kami.
“Kami serahkan anak kami dengan cukup sempurna, tapi sekujur tubuh tidak bernyawa yang dipulangkan kepada kami. Patutkah?” katanya dengan nada yang sedih. – SINAR HARIAN

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story